Sunday, August 09, 2009

Forum Perdana di Kedutaan Malaysia, Syria

Anda pernah tontoni Forum Perdana yang disiarkan setiap minggu di TV Malaysia? Tahukan anda baru-baru ini, Kami telah mendapat ‘santapan rohani’ menerusi Forum tersebut??

Apa?! Forum Perdana di Syria?!

Ya! Buat pengetahuan keluarga Dmasyq di Singapura, buat julung-julung kalinya Persatuan Pelajar –Pelajar Malaysia Syria(PPMS) telah mengadakan Forum Perdana di rumah kedutaan mereka sebagai menyambut ketibaan Isra’ dan Mi’raj yang lepas. Sebagai sebahagian dari keluarga IPAS, Dmasyq diundang untuk mengikuti ceramah yang bertajuk “Mahasiswa merintis Perubahan” ini.

Ahli panel yang dipilih juga bukan calang-calang orang. Ahli panel yang pertama ialah Ustaz Zaki Arshad, Ketua bahagian Dakwah, Daerah Selanggor, JAIS. Manakala Ahli Panel yang kedua ialah Yang Berhormat Dato’ Dr. Hassan Ali.

Menurut Ustaz Zaki Arshad, untuk merintis perubahan, kita memerlukan empat elemen penting. Elemen-elemen tersebut boleh kita dapati didalam Surah Al-‘Asr yang membawa maksud:
“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran”

Untuk berubah kepada kebaikan, seseorang itu perlu 1)Beriman 2)Beramal Soleh 3)Berpesan atau mengajak kepada kebenaran dan 4)Berpesan kepada kesabaran.
Ustaz juga menekankan bahawa Ilmu adalah perkara yang paling penting untuk mencapai perubahan .

Seterusnya, YB Dato’ Dr Hassan Ali mengatakan bahawa untuk menjadi mahasiswa yang cemerlang, kita mestilah sentiasa mengagungkan Allah. Ini dapat dilihat didalam Surah Al-Mudathir. 7 Ayat pertama surah ini membawa perintah yang kuat dari Allah SWT.
يايها المدثر. قم فانذر. وربك فكبر. وثيابك فطهر. والرجز فاهجر. ولا تمنن تستكثر. ولربك فاصبر
Yang membawa maksud: “Wahai orang-orang yang berselimut! Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya. Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan maka hendaklah engkau jauhi. Dan janganlah engkau memberi sesuatu dengan tujuan hendak mendapat lebih banyak daripada itu. Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)".

Walaupun pada zahirnya ayat-ayat tersebut ditujukan khas kepada Junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, kita, sebagi tholibul syari’e sepatutnya mengambil intisari daripada ayat-ayat diatas.
Tambah beliau lagi, kita haruslah sentiasa berhati-hati dengan muamalat seharian kita samaada dengan Allah Azza wa Jal ataupun dengan Bani Basyar secara amnya. Memetik kata-kata beliau yang berbunyi “Jangan sampai kita dilaknat oleh Ilmu yang kita cari dan garap hanya kerana kelalaian kita”. Nau’uzubillah!

Kelalaian disini bersifat umum, tetapi apa yang ditekankan oleh YB Dato’ Dr Hassan Ali ialah kelalaian kita didalam mengerjakan solat. Jika diperhatikan, Ibadah solat ini diturunkan oleh Allah kepada umat Islam kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Isra’ dan Mi’raj. Ia adalah satu-satunya ibadah yang diturunkan terus kepada Nabi Muhammad SAW tanpa perantaraan Jibril AS. Ini menunjukkan betapa pentingnya ibadah yang merupakan tiang agama Islam ini. Oleh itu ‘aib bagi tholibul ‘ilm jika dia masih lalai dalam menjalankan solat atau berlengah-lengah dengan waktu solat.

Seterusnya, Mahasiswa cemerlang ialah mahasiswa yang tidak bangga diri dengan ‘ilmu didadanya. Sebaliknya, dia akan menggunakan setiap Ilmu dan tenaga yang ada untuk membantu dan menyumbang kepada masyarakat. Antara sumbangan yang boleh dilakukan ialah memakmurkan masjid. Menurut beliau, “Kemakmuran masjid dapat menjamin percikan- percikan ilmu dan mahasiswa Islam yang cemerlang”

Seperti Singapura, Negara Malaysia juga mempunyai masalah dimana kebanyakkan graduan Islam dari Timur Tengah tidak menyumbang secara aktif dalam menolong dan mengislahkan masyarakat Islam.
Oleh itu, YB Dato’ Dr Hassan Ali berkata, antara cara-cara yang dapat membantu menyelesaikan masalah tersebut ialah:
1) Mahasiswa harus pandai mengimbangi antara Ilmu Naqli dan ‘Aqli
2) Mahasiswa perlu memperbaiki ilmu ‘Public Presentation’ dan meningkatkan kemahiran komunikasi.
3) Setiap perilaku dan perbuatan Mahasiswa perlu mendatangkan kesan positif yang mendalam kepada berbilang masyarakat.
4) Mahasiswa harus mengikut arus kemodenan tetapi berpegang erat dengan ilmu syarie yang kita capai disini.

Sememangnya Forum Perdana kali ini mendatangkan kesan positif kepada sekalian pesertanya. Keluarga Dmasyq dan unit InfoMedia mengucapkan ribuan terima kasih dan sekalung penghargaan buat Persatuan Pelajar-Pelajar Malaysia Syria (PPMS) diatas undangan yang diberikan. Moga usaha dan kerja keras PPMS dalam menyebarkan syiar Islam diberkati Allah InsyaAllah. Jazakumullah Kathiran Jazaa’!

No comments: