Thursday, April 30, 2009

Kerinduan Lima Sahabat...

Pada tarikh keramat 24 Rabi’ ul Awal 1430H, di waktu alam semesta bergembira menyambut kelahiran Junjungan Mulia Baginda Muhammad selawat dan salam ke atasnya serta keluarga dan sahabat, di dar mubaarakah kediaman Ustaz Zaki, maka berkumpullah lima bersahabat yang dahulunya pernah hidup di perantauan bersama, melalui susah senang hidup di negeri orang demi mengotakan niat yang suci menuntut agama Allah, serta mengharapkan diri tergolong dalam orang-orang yang dimudahkan jalan ke syurga seperti yang di janjikan sodiq almasduq Al-Mustofa Muhammad dalam katanya “barang siapa yang melalui jalan untuk mencari ilmu maka Allah akan mempermudahkan jalannya untuk ke syurga."

Pertemuan mereka itu bermula sejurus selepas tertunainya fardu isya’di jami’ Ghufran –semoga kita tergolong diantara hambanya yang mendapat marghfirah-. Walaupun terdapat dalam kitab-kitab Fiqh bahawa tidak digalakkan berbual-bual kosong selepas Isyak, namun terangkat jika ada keperluan seperti mendamaikan dua orang yang bergaduh atau membincangkan hal-hal berkaitan agama serta juga nasihat menasihati. Maka lima sahabat ini bermulalah membincangkan sambil mula mengatur langkah agar rencana yang diamanahkan kepada mereka untuk menjalankan Khidmah 09 anjuran DMASYQ teratur dan terlaksana.

Walaupun sibuk dengan tugasan dan tanggungjawab persendirian yang berbagai-bagai. Ditambah dengan tekanan hidup di Bandar yang didorong kebendaan Singapura ini. Kerja dan tugasan semakin mencemburui akan masa yang Allah kurniakan pada setiap insan, makanya diambilnya bahagian yang besar dari nikmat masa itu sehinggakan menjadikan sebilangan dari lima sahabat itu terlupa akan kewajipan yang lebih penting yang akan dipersoalkan di mahkamah Allah kelak. Tanggungjawab tak lain tak bukan da'wah pada bani insan. Mujurlah teman-teman lain sempat menyelamatkan dari terus terbawa arus kebendaan dan kesibukan dunia dan menyedarkan apa yang penting di muka bumi ini.

Namun ada kelainan pada tiap-tiap individu, kerana ada yang dikurniakan Allah peluang untuk berkhidmah dalam bidang da’wah secara terus menerus, seperti berkhidmat sebagai eksekutif dakwah atau MRO (mosque religious officer) di Masjid-masjid, atau pun di pertubuhan Islam. Dan ada juga yang tidak berkhidmat di tempat-tempat yang disebutkan tapi terus kerumah-rumah sesiapa yang menginginkan penyiraman cahaya iman dan ilmu. Walau dari segi mana pun kita kita diletakkan, da'wah tetap perlu berada dihadapan mata kita (nashbu a’yunina)

Atas dasar kesedaran yang dikurniakan Allah yang maha suci bukan asal dari diri sendiri, lima bersahabat ini melihat bahawasanya ada manfaat dan kebaikannya jikalau langkah mereka juga berasal dari punca yang berdaftar, maka tercetuslah idea agar ditubuhkan Alumni DMASYQ bagi yang sudah berada di tanah air.

Kewujudannya semata-mata demi melicinkan urusan da'wah teman dari Syria dan Singapura, sekaligus menjadi tempat rujukan mereka yang berhasrat ke Syria untuk meneruskan pengajian. Namun perkara sedemikian masih lagi dalam peringkat perancangan mereka, oleh kerana kurangnya tunjuk ajar dari individu yang amat penting bagi menghalusi perancangan sebegini.

Harapan lima bersahabat ini agar dibekalkan bagi mereka doa pada Allah yang Maha Agung, dipermudahkan segala urusan dan ditetapkan iman dan pendirian dan sentiasa mendapat keistimewaan seorang penuntut ilmu walaupun berada jauh dari punca matair ilmu di bumi Syam almubarakah, walaupun sudah tidak dapat lagi menatap wajah-wajah alim ulama’ yang hati selalu bersih dek zikrullah serta selawat pada Baginda, hingga terpancar dalam setiap gerak dan geri mereka.

Lima bersahabat ini mula terasa bibit-bibit rindu bertumbuh jauh dalam sanubari mereka terhadap negeri yang didoakan Baginda dengan keberkahan, bumi yang ada di antara mereka telah menghabiskan bertahun-tahun lamanya meneguk dari punca matairnya namun tidak pernah kehabisan, harap-harap bekalan mereka yang dibawa pulang mampu menghilangkan dahaga mereka ketika di tanahair mereka sendiri sehinggalah kembali lagi ke sana untuk mengisi bekalan sekali lagi insyaallah.

-Muhamad Fawzan Satar-

5 comments:

Anonymous said...

Semoga Allah memberi kamu sekalian ketabahan,ketenangan,perlindungan dalam mengharungi badai dunia, ameen.

Selamat berjuang!!!

Anonymous said...

"Ya Tuhan kami, jangan Kau condongkan hati kami kpd kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kpd kami & kurniakanlah kpd kami rahmat dari sisi-Mu, sesungguhnya Engkau Maha Pemberi..."

Kuatkan semangat teman-ku, ya Robb!

siirul qalb said...

Masyallah.. teruskan perjuangan selagi nyawa msh diberi. Utk nya Ummah kerana Mu Ya rabb!

Anonymous said...

Wahai sahabat yang keras ototnya, lembut hatinya...
Indah sungguh bahasa, indah lagi tindak tandukmu.
Kata-katanya tak seasyik orangnya..
selamat berjuang...

Juita Malam

Abu Bayadh said...

نشتق إليكم اشتقاقا لا تشبيه فيه