Sunday, March 22, 2009

"Workshop ARUP"

Pada hari Jumaat, 6 Mac 2009, Dmasyq buat julung-julung kalinya telah mengadakan program bengkel- ceramah motivasi yang disasarkan untuk seluruh ahli Dmasyq.

Program bengkel-ceramah motivasi yang melibatkan 70 orang peserta ini dinamakan “Workshop ARUP” mendapatkan sambutan yang menggalakkan. Nama program “Workshop ARUP” ini dicetuskan oleh salah seorang AJK program. “ARUP” adalah singkatan bagi perkataan “ a rang up” yang memberikan maksud yang sama seperti “a step up” iaitu satu langkah ke hadapan bagi meningkatkan prestasi diri.

Program ini dijayakan hasil kerjasama Unit R&D, Lajnah Ta`alim dan Lajnah Kebajikan Dmasyq.

Di antara aktiviti “Workshop ARUP” ialah ceramah motivasi, bengkel kemahiran, tayangan video.

Sesi ceramah motivasi boleh dikatakan antara aktiviti yang paling memberikan kesan kepada para peserta. Topik-topik menarik dibentangkan oleh 4 orang panelis iaitu Akh Syahrin Salleh (Teknik Mendisiplin Diri), Akh Faizal Wahab ( Bagaimana menangani ‘mood swing'), Ukht Nurul Huda Khamsani (Teknik Menghilangkan Stres Sebelum Menghadapi Peperiksaan) dan Ukht Khadijah Mohamed Hussain (Cara Pembelajaran Yang Efektif Menurut Islam).

Program diteruskan dengan sesi bengkel kemahiran, di mana peserta didedahkan dengan beberapa kemahiran yang boleh membantu mereka meningkatkan prestasi pelajaran masing-masing. Antaranya: “Teknik Mencatit Nota”, “Teknik Pengurusan Masa Yang Efektif”, “Teknik Menghafal” dan “Teknik Melakar Peta Minda”.

Secara keseluruhannya, program ini dilihat sebagai satu anjakan paradigma bagi menaikkan lagi prestasi Dmasyq di masa hadapan. Sebahagian besar peserta menyatakan mereka berpuashati dengan program yang dianjurkan dan berharap ianya akan diadakan lagi di masa akan datang. Alhamdulilah!

No comments: