Saturday, January 29, 2011

Sejarah Aqidah Islamiyah.

Dars Sejarah Aqidah Islam ini telah diadakan di EMBA-C pada 21 Januari 2011 lalu dari 6.30 petang hingga 9 malam. Dianjurkan oleh Lajnah Ta'lim .. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat ayat suci Al-Quran oleh akh Faheem untuk lagi menyempurnakan majlis dars ini. Lalu majlis ini diteruskan oleh AKH ISMAIL untuk mengambil tempat selaku pengerusi majlis.Beliau menjemput pula penceramah yang di undang khas Alfadhil As-syeikh Wael Al-Bizm, dari Maahad Fatah Al-islamiyah. Beliau menitik beratkan tentang "Sejarah Perkembangan Ilmu Aqidah Islamiyah".

Sejarah Aqidah Islam bermula dengan mula turunnya wahyu kepada Rasulullah s.a.w.. Ilmu aqidah Islam pada zaman itu serupa seperti ilmu-ilmu selainnya dari segi ianya belum lagi dikumpul dan ditulis didalam mana-mana kitab. Dan sejarah perkembangan ilmu ini sejak mula hinggalah ianya ditulis dan menjadi sebuah ilmu yang dikenali kini sabagai ilmu tauhid atau aqidah, terbahagi kepada lima bahagian mengikut pecahan yang dibahagi oleh Alfadhil As-syeikh Wael Al-Bizm.

1) Permulaan agama Islam ( zaman kebangkitan Rasaulullah s.a.w. )
2) Zaman khalifah Saidina Abu Bakr dan Umar r.a.
3) Zaman khalifah Saidina Usman r.a
4) Zaman khalifah Saidina Ali r.a. dan pertengahan kurun pertama
5) Akhir kurun ketiga dan permulaaan kurun keempat hijrah.

(1) Permulaan agama Islam.
Ilmu Aqidah pada zaman ini terkandung di dalam ayat-ayat al-quran dan hadis Rasulullah s.a.w., dan ianya tidak dikumpul dan ditulis pada zaman ini hingga menjadi suatu ilmu yang tersendiri seperti fiqh dan selainnya atas beberapa sebab. Di antaranya ialah para sahabat pada ketika itu hidup di dalam suasana Islam yang bebas dari ftnah-fitnah yang menghancurkan kefahaman yang betul tentang agama Islam. Dengan kata lain, kefahaman agama islam bagi para sahabat pada masa itu suci sesucinya. Dengan itu tidak terdengar satu riwayat pun yang menceritakan tentang perbalahan mereka dalam ayat-ayat mutasyabihat dan selainnya, malah apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat yang berkaitan dengan tauhid,tidak ada perbalahan, penentangan, perjidalan dan sebagainya. Akan tetapi mereka dengar dan menerima dengan sepenuhnya tanpa rasa ragu-ragu dan syak wasangka.

Kalau diteliti akan sebab sampainya para sahabat ke tahap “taslim” ini ialah disebabkan keteguhan dan kekuatan iman dan Islam di hati-hati mereka. Dan inilah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sepanjang berada di Mekah sebelum hijrah, beliau mengukuhkan iman dan Islam di hati-hati mereka agar tidak ada tentangan dan percanggahan dari mereka terhadap ayat-ayat dan wahyu yang akan diturunkan. Timbulnya soalan-soalan yang tidak sepatutnya akan hak-hak Allah s.w.t. pada zaman ini ialah atas sebab goncangnya iman-iman di hati-hati para muslilmin zaman ini dan juga disebabkan syak wasangka yang ditanam oleh musuh-musuh Islam, maka memahami Aqidah yang betul dan mengenali Allah s.w.t. ialah asas bagi setiap muslim sebelum memahami fiqh dan sebagainya.

Dan di antara sebab asas tidak perlu kepada pengumpulan dan penulisan pada zaman itu ialah Musyarri` dan juga pengajar bagi Aqidah yang suci ini berada dan hidup di kalangan mereka,yaitu Rasulullah s.a.w. . Maka Rasulullah s.a.w. menjadi rujukan buat para sahabat jika ada timbulnya persoalan dan masalah.

(2) Zaman khalifah Saidina Abu Bakar r.a. dan Saidina Umar r.a..

Kewafatan Rasulullah s.a.w. merupakan permulaan perubahan bagi kefahaman dalam Aqidah Islam, kerana zahir buat pertama kali pada ketika ini pembahasan yang berkaitan dengan Aqidah muslim. Pembahasan itu ialah perselisihan pendapat antara sahabat-sahabat tentang siapakah yang berhak dalam menjadi khalifah Rasulullah s.a.w. setelah kewafatannya. Para ulama telah meletakkan masalah khilafah ini di antara masalah yang berkaitan dengan pembahasan-pembahasan ilmu Aqidah.

Alhamdulillah,masalah ini tidak berpanjangan dan seperti mana yang kita ketahui, khalifah pertama dipegang oleh Saidina Abu Bakar r.a. dan yang kedua Saidina Umar r.a..

(3) Zaman Khalifah Usman r.a.

Syeikh Wael mengatakan bahawasanya pada zaman ini, ada terjadinya beberapa kejadian yang berkaitan dengan pembahasan-pembahasan ilmu Aqidah, tetapi Syeikh tidak menerangkan dengan lebih lanjut kerana ianya luar dari tajuk yang dibincangkan.

(4) Zaman Khalifah Saidina Ali r.a.

Zaman ini merupakan zaman di mana terjadinya goncangan yang kuat dalam Aqidah Islam dan juga kehidupan orang-orang muslim, kerana di zaman ini timbulnya dua kumpulan yang sesat dari ajaran dan fahaman agama Islam yang benar. Kumpulan yang pertama merupakan kumpulan yang terlampau dalam hak saidina Ali r.a. sehingga mengangkatnya kepada martabat ketuhanan dan ianya diketuai oleh seorang yahudi yang menganut Islam dengan niat menghancurkannya.Dia dikenali dengan nama Abdullah bin Saba. Kumpulan yang kedua pula merupakan kumpulan yang terlampau dalam membenci saidina Ali r.a. sehingga menghukumnya sebagai seorang yang keluar dari agama Islam yang sebenarnya, kumpulan ini dikenali sebagai Al-Khawarij.

Dari dua kumpulan inilah timbulnya kumpulan-kumpulan lain yang menjadikan kefahaman dalam Aqidah Islam menjadi haru-biru,akan tetapi dalam keadaan timbulnya fahaman-fahaman yang salah ini, Allah tetap menjaga fahaman Aqidah Islam yang betul, kerana itu ialah janjiNya.
Di antara kumpulan-kumpulan yang masyhur yang timbul dari dua kumpulan itu ialah Al-jabriah, yang diketuai oleh Jaham bin Shafwan. Fahaman mereka ialah manusia tidak mempunyai pilihan dan tidak mempunyai daya dan upaya dalam melakukan apa jua perbuatan. Yang bermaksud semua perbuatan dan amal manusia dipaksa ke atas diri mereka oleh Allah s.w.t., maka manusia ini seakan-akan bulu yang mengikut arah tiupan angin. Pegangan ini salah kerana kita tahu bahawa Allah s.w.t. mencipta di dalam manusia pilihan untuk memilih yang baik atau buruk, taat atau maksiat dan sebagainya.

Di antara kumpulan lain ialah Al-qadariah,diketuai oleh Ma`bad Al-Juhani yang mengatakan bahawasanya setiap amal dan perbuatan manusia tidak ditakdirkan oleh Allah s.w.t. akan tetapi setiap amal dan perbuatan manusia dimulakan oleh mereka sendiri, iaitu setiap amal tidak ditulis sejak azali akan tetapi ditulis oleh manusia sendiri apabila mereka memilih dan melakukan amal yang mereka lalukan. Kefahaman mereka inilah yang kemudiannya menjadi sebab dalam pengumpulan dan penulisan kefahaman ilmu aqidah Islam yang benar, yang Allah s.w.t. takdirkan di dalam tangan imam-imam bagi dua sekolah iaitu Asyairah dan Matridiyyah yang kedua-duanya memegang mazhab ahli sunnah wal jamaah.
Di antara kumpulan-kumpulan itu juga ialah kumpulan yang dikenali sebagai Mu`tazilah, diasaskan oleh Washil bin Atho. Kumpulan ini pula terpengaruh dengan falsafah yunani sehingga mereka cuba untuk menghukum dan memahami al-Quran dan sunnah dengan berpandukan falsafah ini.

Kedua-dua kumpulan yang di atas iaitu al-jabriyyah dan al-qadariyah merupakan kumpulan yang terkeluar dari ajaran dan fahaman Islam yang sebenar, maka mereka ini dihukumkan sebagai kafir, kumpulan Mu`tazilah pula tidaklah dihukumkan sebagai kafir akan tetapi fasiq seperti mana yang dijelaskan oleh Syeikh Wael dan inilah yang diajarkan oleh Syeikh beliau iaitu salah seorang ulama besar negeri Syam, Al-fadhil Alallamah As-syeikh Adib Alkallas. Syeikh Adib mengatakan mereka tidak dihukumkan kafir kerana kefahaman yang mereka ajarakan bukanlah untuk menghancurkan dan memasukkan fitnah ke dalam aqidah Islam akan tetapi niat mereka ialah menyucikan Allah s.w.t. dari apa-apa yang tidak layak baginya. Akan tetapi mereka tersesat dan tersalah dalam fahaman mereka apabila mereka menggunakan akal dalam memahami Allah s.w.t yang maha esa. Dan kita semua maklum bahawa akal manusia terhad maka apabila kita mula menggunakan akal sebagai penentu bagi kebaikan dan keburukan dan juga menjadikan akal sebagai asas dalam menghukum ayayt-ayat Allah s.w.t.,lebih-lebiih lagi ayat-ayat yang berkaitan dengan tauhid, akan tersalah faham dan tersesatlah kita dari kefahaman aqidah Islam yang benar.Inilah yang terjadi kepada Mu`tazilah maka mereka ini dihukum sebagai fasiq. Ahli sunnah wal jamaah pula menolak fahaman Mu`tazilah ini dan mengatakan bahawa baik dan buruk bukanlah dihukum oleh akal akan tetapi oleh syara`.
Timbulnya kumpulan-kumpulan ini dan selainnya pada pertengahan kurun pertama hijrah dan ketika ini belum lagi adanya penulisan dalam ilmu aqidah sehinggalah akhir kurun ketiga dan awal kurun keempat.

(5) Akhir kurun ketiga dan permulaaan kurun keempat hijrah

Pada ketika inilah zahirnya dua mazhab dalam aqidah islam yang berpegang kepada ajaran ahli sunnah wal jamaah. Dan di atas tangan imam-imam kedua mazhab inilah Allah mentakdirkan pengumpulan, penulisan dan perkembangan ilmu Aqidah Islam yang benar. Mazhab yang pertama dinisbahkan kepada Ali bin Ismail Al-Asya`ri wafat pada tahun 324 hijrah, moyang beliau merupakan sahabat Rasulullah s.a.w. yang bernama Abu Musa Al-asya`ri dan mazhab ini dikenali sebagai mazhab Al-Asyai`rah.

Mazhab yang kedua pula diasaskan oleh Abu Manshur Al-matridiyyah. Beliau wafat pada tahun 333 hijrah dan mazhab ini dikenali sebagai mazhab Al-Matridiyyah. Dan seperti mana yang kita ketahui bahawa ilmu fiqh(Islam) kembali kepada empat mazhab yang masyhur,Hanafi,Maliki,Syafii dan Hanbali. Ilmu aqidah(Iman) pula kembali kepada dua mazhab yang masyhur pula,Asyai`rah dan Matridiyyah.

Thursday, January 06, 2011

Bengkel 6 Thinking Hats

Bismillahir Rahmanir Rahim

Bengkel yang informatif ini telah diadakan di EMBA-C pada 25 Disember 2010 lalu dari 8 pagi hingga 12 tengahari. Dianjurkan oleh Lajnah Ta'lim dan dikelolakan oleh beberapa shabab – Akh Ahmad Jamalulail, Taufiq, dan Faizal, bengkel ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan shabab & akhwat Dmasyq.6 pendekatan berfikir yang berbeza diandaikan seperti menggunakan 6 topi berbeza warna:

1. Topi Putih: berfikir dengan hanya menggunakan maklumat, fakta & logik;
2. Topi Kuning: berfikir dari sudut positif. Pemikir bersifat optimis & fokus pada faedah & kebaikan sesuatu perkara;
3. Topi Hitam: berfikir dari sudut negatif. Pemikir bersikap kritikal & fokus pada kelemahan atau keburukan sesuatu perkara;
4. Topi Hijau: berfikir dengan cara kreatif. Pemikir fokus mencari idea baru atau huraian kreatif bagi sesuatu isu yang sedang dihadapi;
5. Topi Merah: berfikir dengan hanya menggunakan emosi & perasaan;
6. Topi Biru: berfikir sepertiseorang kapten kapal. Pemikir menentukan fokus dalam berfikir, & melihat secara keseluruhan untuk mencapai sesuatu keputusan.
Topi Biru menentukan "sequence ofhats" iaitu tertib susunan topi yang digunakan semasa berfikir.

Selain mendedahkan para peserta kepada teknik berfikir menggunakan 6 sudut berbeza, peserta juga berpeluang mempraktikkan teknik2 berfikir tersebut apabila mereka dibahagikan kepada kumpulan2 kecil lalu diberikan topik untuk difikirkan bersama dalam kumpulan masing2.

Semoga ilmu tentang 6 thinking Hats ini dapat dipraktikkan dalam hidup kita seharian, baik dalam membuat keputusan kecil atau besar, secara sendirian atau dalam jemaah. Inshaallah

Wednesday, December 22, 2010

Ayuh raikan majlis ilmu!

Assalamualaikum wr. wb.

Semoga semua dalam keadaan sihat dan dilindungi Allah sentiasa.
Pasti anda tertanya-tanya, majlis ilmu yang bagaimana pula kali ini? Kerana majlis ilmu itu luas pengertiannya.

Ana diberitahu oleh seorang rakan bahawa selama 8 jumaat berturut-turut, bermula dari 17/12/2010 hingga 4/2/2011 akan diadakan bacaan kitab Sunan An-Nasai di Jami’ Rifai’. Waktunya dari lepas asar hingga 10 malam.

Terdetik di lubuk hati, 10 malam?lamanya..Tetapi serta-merta keluhan itu berganti senyuman, ada semacam rasa ketenangan bila teringat Rasulullah s.a.w yang memperjuangkan agama Islam selama 23 tahun , hatta ke akhir hayatnya masih menyebut “UMMATI..UMMATI”. Adakah kita masih berkira untuk menghadiri majlis yang bisa menyemarak rasa hubb atau cinta kita kepada kekasih Allah yang mengasihi ummatnya? Di situlah datang azam jitu untuk menghadiri majlis ilmu ini. Hari jumaat memang best kalau dapat berehat di rumah, tapi kemanisan ilmu itu terlalu tinggi nilainya jika hendak dibandingkan dengan berehat seribu tahun. Syabab dan akhawat, para malaikat akan memayungi penuntut ilmu dan segala kepenatan akan mendapat ganjaran di sisi Allah, biiznillah.

Pada Jumaat lalu. Syeikh telah memulakan dars dengan bab Thaharah dan mengakhiri majlis ilmu itu dengan bab Azan.
Baiklah, bagi sesiapa yang baru menghadiri majlis ilmu seperti ini, kadang-kadang akan terdetik di dalam hati “Eh Syeikh ni baca je?lajunya?tak syarah ke?mcm mana nak faham ni?Abis apa faedah yang aku dapat dari majlis ilmu ni?” Soalan itu pernah dilontarkan kepadaku dan aku sendiri pernah terfikir untuk bertanya begitu kepada mereka yang rajin pergi ke majlis ilmu seperti ini, tetapi ku pendamkan sahaja niat tersebut.

Jumaat lalu, aku mendapat jawapan dari soalan tersebut.:
1) Majlis seperti ini mengajar kita bersabar dalam menuntut ilmu dan kita harus lebih fokus dalam mengikuti bacaan hadith yang disampaikan oleh syeikh.

2) Mengenal perawi-perawi hadith, selama ni mungkin hanya segelintir nama perawi/rijalul hadith yang kita tahu.

3) Menambah pengetahun kita tentang hadith-hadith yang jarang atau tidak pernah kita dengar.

4) Jika selama ini kita beramal kerana mengikut apa yang diajar oleh guru kita, kita akan merasakan bahawa semua yang diajar itu tercatit di dalam hadith Rasulullah.s.a.w

5) Kita akan mengetahui bahawa imam-imam mazhab bersandarkan hadith dalam istinbath hukum-hukum syara’. Justeru, menambah ilmu kita dalam pelajaran Al-FIQHUL MUQARAN.

6) Ada hadith yang pernah disebut oleh anisah/syeikh yang kita tak sempat salin matannya atau tak pernah dengar langsung di dalam bilik kuliah, maka di majlis ini, kita akan tahu hadith itu terletak di bab tertentu, siap dengan full version.

7) Lebih menghayati peribadi dan segala amalan Nabi Muhammad s.a.w.


Pada Jumaat lalu, ada beberapa ukht berkata “oh baru ana tau, ada hadith yang mengatakan nabi hanya menyapu kepala sekali sahaja ketika mengambil wudhu”, “tapi ada hadith lain kata 3 kali”. “ oh baru ana tau ada hadith yang menggalakkan kita menuntup badan(bukan telanjang) ketika mandi”. “oh imam Hanafi mengambil hadith ini dengan mengatakan wudhu’ tidak perlu tertib”.

Lihatlah, itu hanya sedikit dari segala oh yang disampaikan oleh mereka. Tetapi kalau anda sendiri yang hadir, banyak lagi rahsia ilmu yang dapat disingkap dari majlis ilmu ini. InsyaALLAH.

Jom! Kita pergi sama-sama jumaat ni!~

Tuesday, December 14, 2010

Kota Damsyik diselimuti Salji





BismiLLAAHIR Rahmaanir Raheem.


BismiLLAHI Maasya ALLAH..

Berbulan lamanya kota Damsyik, khususnya di tempat penginapan pelajar-pelajar Singapura iaitu Ruknuddeen, mengadapi cuaca panas dan kering yang bukan pada musimnya. Biasanya, bulan November datang bersama dengan hujan lebat yang membasahi kota, tetapi pada tahun ini, ianya pergi dengan cuaca yang menyerupai cuaca musim bunga (rabii'). Oleh kerana kehidupan rakyat Syria banyak bergantung pada kadar air yang turun di musim sejuk, kementerian Dimasyq telah mengarahkan semua Masjid untuk menunaikan Solat Istisqaa'; Solat Minta Turun Hujan, selepas solat jumu'ah pada hari jumaat lepas. Dan alhamduLILLAH, berkat doa para 'ulama dan solihin, dan juga berkat istighfar serta taubat mereka yang meminta, doa rakyat Damsyik terus dikabulkanNYA pada keesokan harinya.

Hujan lebat telah membasahi kawasan Ruknuddeen pada hari Sabtu; 11 haribulan Disember 2010. Dengan kudrah ILAHI, cuaca yang sebelumnya agak panas dan kering tiba-tiba ubah menjadi sejuk dan lembab. Setelah sehari suntuk hujan membasahi kawasan perumahan kami tanpa henti, akhirnya SALJI yang dinanti-nantikan turun menyelimuti bumi. Maasya ALLAHU kaan, maa lam yasha' lam yakun..! Begitu lebat sekali salji yang turun, sehingga sekolah terpaksa ditutup selama 3 hari demi mengelakkan kemalangan yang tidak diinginkan.

Makanya, Kota Mubarak Damsyik pun menjadi putih, dan suara keriangan kanak-kanak dan juga remaja kedengaran di sana-sini. 'Bebola Salji' ataupun 'Snowball' dilempar kesana-kemari. Wah, gembira sungguh mereka yang dapat menyaksikan Rahmat ALLAH ini! Sungguh, ALLAH-lah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.. Hujan diminta, maka Salji yang lebat diturunkan. AlhamduLILLAAHI hamdan katheeran toyyiban mubaarakan fiih! Ucaplah hamdalah, kerana semua ini merupakan Rahmat ILAHI..

ALLAHUMMAsqinal ghaitha daa-iman, wa laa taj'alnaa minal qonitiin.. ALLAHUMMA amiin ya Mujeeb Du'aa as-saa'ileen.

Saturday, December 11, 2010

''Learning Damascus'' (entry part 1)

Bismillaahir Rahmaanir Raheem.

AlhamduLILLAH, pada tanggal 5 Disember 2010, Mujamma' Sheikh Ahmad Kuftaro menerima lawatan sambil belajar khas dari Singapura. Seramai hampir 70 pelajar Singapura dari pelbagai peringkat umur telah tiba dengan selamat di Kota Damsyiq, dan seterusnya mendiami di asrama khas Institusi besar Abu Nour itu sendiri.
Ahli-ahli DMASYQ mendoakan semoga lawatan mereka selama 2 minggu ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya, agar pengalaman serta ilmu yang diraih dapat dikongsi dengan masyarakat Singapura sejurus selepas kepulangan mereka ke tanahair nanti.

Ahlan wa sahlan biwasiyyah RasuuLILLAH..!

Suria Segar; 27 November 2010

BismillahirRahmaanirRaheem

Alhamdulillah pada 27 November yang lepas, Lajnah Ta’lim telah menjalankan program tahunannya SURIA SEGAR. Cuaca yang sejuk hingga mencengkam tulang tidak menghambat keluarga besar Dmasyq dari berkumpul beramai-ramai di ruang Emba-c bagi menjayakan program tersebut.

Suria Segar tahun ini agak berlainan sikit kerana penganjur telah memuatkan slot Kursus Pengurusan Jenazah didalam program ini.
Program dimulakan seawal tujuh pagi dan dibuka dengan bacaan Ma’thurat beramai-ramai. Program kemudiannya disambung dengan sedikit tazkirah oleh akh Zahir. Antara initipati tazkirahnya, beliau telah menekankan tentang perlunya membuat persedian awal bagi setiap perkerjaan yang kita akan kerjakan.

Seterusnya, majlis diteruskan dengan Kursus Pengurusan Jenazah yang disampaikan oleh Akh Fadly Ayub dan Akh Muzakkir. Kursus ini mempunyai 2 bahagian-teori dan praktikal.Kursus pengurusan jenazah ini berjaya menarik perhatian dan konsentrasi peserta dengan cara penyampaiannya yang terang dan jelas.

Majlis berakhir dengan slot yang dinanti-nantikan ramai, santapan beramai-ramai! Hidangan nasi lemak ternyata membuka selera peserta-peserta program kali ini.
Syabas buat pihak penganjur!

DMASYQ Winter Tour

Bismillahirrahmanirrahim




Bismillahirrahmanirrahim

REHLAH-DMASYQ WINTER TOUR
18 NOVEMBER 2010

Lajnah Kebajikan telah melaksanakan Dmasyq Winter Tour dengan palmyra (tadmur) sebagai misinya buat kali ini. Tujuan mereka membuat rehlah ini adalah untuk sama-sama mengenali tempat bersejarah yang ada di Bumi Syam, serta mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain (akan tetapi, "erat bukan bererti ikhtilat" ya).

Sejarah yang akan kami kongsi disini ialah PALYMRA(tadmur dalam bahasa melayu) yang terletak di tengah-tengah padang pasir Syria. Ia juga dikenali sebagai "permaisuri padang pasir". Disebut sebagai “The Oasis” ini terletak berdekatan dengan pancutan air panas yang dipanggil AQFA, dimana tempat ynag sesuai untuk kafilah-kafilah berhenti minum diantara Iraq dan bumi syam (dimana sekarang adalah Syria,Lubnan,Palestin, dan Jordan), menjual sutera dari cina kepada Mediterranean. Lokasi yang strategic ini juga telah membuat Palmyra sebuah kerajaan yang cukup mantap pada kurun yang ke-2 sebelum masihi.

Seterusnya, acara kemuncak rehlah adalah ke Qal’ah Ibn Maan. Pada kurun yang ke-16, Qal’ah ibn maan dibina diatas bukit oleh Fakhr ad-Din al-Maan. Istana ini dibina yang mana sekelilingnya adalah parit . Cara untuk memasuki istana ini hanya menggunakan jembatan. Selepas kejatuhan umayyah, Bandar ini hanya seperti sebuah kampung kecil. Begitulah serba sedikit cerita yang disampaikan oleh seorang ahli sejarah Dmasyq.
Akhir sekali, ribuan terima kasih kepada Abu Hasan (pemandu bas kami) yang telah menjemput kami ke kebun anaknya untuk melepaskan lelah sejenak. Seterusnya kami tiba dengan selamat ke Ruknuddin pada jam 8 malam, bihamdiLLAHI Rabbil 'aalamin.